Seorang pemimpin Wanita Umno Langkawi yang menjadi viral dalam video "Najib kencing" baru-baru ini tampil mempertahankan kritikannya terhadap Datuk Seri Najib Razak walaupun dinasihatkan seorang menteri Kabinet agar menegur dengan cara lebih bersopan.
Anina Saaduddin mempertahankan tindakan dan hujahnya dan berkata, perkataan digunakannya dalam video tersebut sudah cukup bersopan dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menegur secara berhemah tidak didengari malahan dibuang daripada Kabinet perdana menteri hujung bulan lalu.
Menyifatkan rintihan akar umbi tidak akan didengari sekiranya bercakap lembut kepada presiden Umno itu, Anina mempersoalkan nasihat Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek agar menegur dengan cara yang lebih santun.
"Saya bercakap dalam platform Umno, mesyuarat tertutup. Mesyuarat perwakilan Wanita Umno Bahagian.
"Maknanya perwakilan, platform yang betul. Sebagai ahli Umno saya rasa itulah platform terbaik untuk saya luahkan rasa hati saya kepada presiden.
"Bukan saya angkat banner bersorak di Sogo," kata Anina ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam merujuk kepada kompleks membeli belah di Kuala Lumpur yang popular sebagai lokasi diadakan demonstrasi.
Hujung minggu lalu sebuah video yang mengkritik keras Najib dengan mendakwa pemimpin tertinggi parti itu "kencing" atau menipu rakyat menjadi viral di media sosial.
Dengan nada tinggi dan berbaur sindiran, Anina lantang menyuarakan pendapatnya di sebuah persidangan perwakilan Wanita Umno.
“Datuk Seri presiden dah kencing 3 juta ahli Umno. Dia kata 3 juta ahli Umno sokong penuh kepimpinan beliau.
“Saya minta Majlis Tertinggi Umno bawa Datuk Seri Najib 'pi' (pergi) berubat,” katanya dalam dialek utara.
Anina mempersoalkan Shabery yang juga menteri pertanian dan industri asas tani, jika Muhyiddin menggunakan bahasa cukup baik dalam membuat teguran tidak didengari, apa dimaksudkan dengan teguran berhemah.
"Macam mana lagi saya hendak cakap? Hendak cakap macam mana?
"Tolonglah susun ayat untuk saya," soal Anina yang merupakan pemimpin Umno Cawangan Padang Mat Sirat.
Anina menjawab nasihat Shabery sebelum ini yang mengatakan beliau perlu menegur pemimpin seperti ibu bapa sendiri.
Namun Anina menegaskan tiada guna bercakap baik dengan presiden kerana ia hanya akan menjadi luahan kosong.
Aina turut menegaskan kelantangan dirinya dalam video tersebut adalah kerana sayangkan Umno dan mahu menjaga kepentingan dan nama baik parti Melayu itu.
"Saya bercakap supaya saya didengari, saya hendak didengari, macam mana saya hendak didengari?
"Kalau saya cakap lemah lembut ingat saya hendak didengari? Bercakap macam ini baru menteri hendak komen. Kalau saya cakap baik-baik menteri nak komen?" katanya.
Semalam, Shabery menasihatkan Anina agar lebih bersopan santun dalam memberikan teguran.
- tmi
No comments:
Post a Comment