Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan agar berhenti dari terus menerus menyerang kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata ini kerana Tun Mahathir lupa rekod beliau sewaktu mentadbir negara dulu juga adalah teruk.
“Saya ingat Dr Mahathir ini telah lupa. Dia rasa masa dia jadi perdana menteri dulu OK sangat, bagus sangat… masa dia itulah sistem undang-undang kita habis dibongkarnya.
“Ini rekod dia pun teruk kemudian nak kata tidak ada demokrasi. Kalau tidak ada demokrasi, lama dah blog dia ditutup,” katanya ketika diminta mengulas tulisan di blog Tun Mahathir bahawa demokrasi telah mati di Malaysia.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan rasa meluat kerana Datuk Seri Najib Razak sanggup melumpuhkan siasatan ke atas 1MDB dan juga kes wang RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri itu.
Tindak-tanduk perdana itu menyebabkan demokrasi kini mati, kata Mahathir lagi.
Tambahnya, pasukan polis sepatutnya menyiasat Najib dan bukannya mengganggu penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
'Dr M dulu guna ISA'
Mengulas lanjut, Nazri berkata Tun Mahathir kini bercakap tidak berasaskan pertimbangan waras dan kerap kali mengeluarkan kenyataan yang bersifat dendam.
“Oleh kerana dendam kesumatnya kepada perdana menteri sekarang dia keluarkan kenyataan berdasarkan kepada kemarahan bukan pertimbangan yang waras.
“Biarlah dia dengan kemarahan dia, tidak usah layanlah. Saya pun dah lama tak ambil tahu apa yang dia cakap,’ ujarnya.
Sementara itu ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Tun Mahathir bahawa perhimpunan jalanan langkah terakhir untuk perdana menteri meletakkan jawatan ini jawab Nazri:
“Saya nak tanya dia balik masa dia jadi perdana menteri dulu dia layan ke perkara ini?
“Bukankah dia yang telah menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba untuk memporak-perandakan kerajaan,” jelasnya.
BERSIH 4 merancang untuk mengadakan perhimpunan pada 29 dan 30 Ogos untuk menekan Najib agar meletak jawatan.
No comments:
Post a Comment