Pages

Shahidan penggerak batal tukar 2 pengarah SPRM

Monday, August 10, 2015




Meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mengakui menjadi antara penggerak dalam keputusan menarik balik arahan pertukaran dua pengarah kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun menolak tanggapan bahawa beliau seorang jaguh.
 
“Saya tidak bersetuju dengan perkataan jaguh, saya bukan ayam sabung (kerana) ini tugas kita,” katanya kepada pemberita di PWTC petang ini.

Katanya, selain beliau, seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low di antara yang bertanggungjawab dalam usaha untuk mengekalkan dua pengarah kanan tersebut di SPRM.

Jelasnya, dalam menyelesaikan isu tersebut beliau menghubungi pihak berwajib bagi mendapatkan maklumat sehingga keputusan dibuat bahawa pegawai yang ditukar akan berjumpa dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi tadi.

Hari ini, setelah pertemuan itu dibuat, pemindahan dua pegawai kanan SPRM itu ke JPM pada Jumaat lalu, dibatalkan.

Minggu lalu, Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob berjumpa dengan pemimpin pembangkang.

Manakala, Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin bersumpah dengan nama Allah akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu.

Bahri turut mengingatkan 'dalang-dalang' itu bahawa kuasa yang mereka ada tidak sebesar mana.

Sementara itu, Shahidan ketika mengulas lanjut mengenai kenyataan Bahri itu berkata, pengarah SPRM itu dalam keadaan tertekan ketika itu.

Namun, katanya, sekiranya pegawai itu bersalah, tindakan tetap akan diambil ke atas mereka.

“Bukan niat SPRM untuk keluar kenyataan sedemikian rupa. Sudah pasti mereka dalam keadaan tertekan.

“Tetapi kalau pegawai itu bersalah kita kena ingatkanlah,” katanya.





No comments:

Post a Comment