Pages

Adik Zahid bincang sistem urus 1.5j pekerja Bangladesh

Monday, August 10, 2015




Sebuah syarikat yang dimiliki oleh adik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang berbincang dengan Dhaka dan Putrajaya untuk menyediakan satu sistem pengurusan bagi 1.5 juta pekerja Bangladesh, yang Malaysia berhasrat membawa masuk bekerja di negara ini.

Real Time Networking Sdn Bhd, di mana adik Zahid - Abdul Hakim Hamidi - adalah pengerusi eksekutifnya, mencadangkan penyediaan satu sistem dalam talian di mana, dengan bayaran, pekerja boleh didaftar dan dipantau dari Bangladesh dan Malaysia.

Zahid juga adalah menteri dalam negeri, dan kelulusan bagi pekerja asing ke Malaysia adalah di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Sistem dalam talian Real Time - yang dikenali sebagai Workforce Management & Networking System (Workman) - adalah sama seperti yang disediakan oleh Bestinet, firma yang dimiliki oleh bekas menteri dalam negeri, Datuk Azmi Khalid.

Perjanjian Bestinet dengan kerajaan digantung pada awal tahun ini selepas bantahan agensi pekerjaan di negara penghantar, terhadap bayaran perkhidmatan yang tinggi.

Ketika dihubungi, Hakim mengesahkan perkara itu tetapi menekankan bahawa ia bukan satu kontrak kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah dengan kerjasama Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira).

"Kami mempunyai model sistem di mana kita akan mendapat bayaran untuk satu pakej (perkhidmatan) dan kita boleh menghantar orang (dari Bangladesh) untuk 60,000 taka Bangladesh (RM3,000), termasuk tiket penerbangan.

"Ini bukan kontrak kerajaan. Ya, kerajaan mereka perlu meluluskannya kerana ia melibatkan rakyat tetapi mereka hanya memantau," kata Hakim.

Jika diluluskan, agensi-agensi seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Manusia akan dihubungkan dengan sistem Real Time dan semua agen pekerjaan mesti melalui Real Time untuk menghantar pekerja ke Malaysia.

Beliau juga menafikan dakwaan berlaku nepotisme, dengan alasan bahawa beliau berpengalaman dalam bidang tersebut.

"Abang saya seorang menteri tetapi saya seorang ahli perniagaan. Ini sebuah negara demokratik dan saya boleh buat apa-apa pun, selain daripada menjadi pengedar dadah," katanya kepada Malaysiakini.

"Di Malaysia ni susah sangat. Mereka kata jika abang saya seorang menteri, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka mahu kami semua jadi penganggur," kata beliau yang kini berada di Dhaka.

Copy Paste Dari SINI




No comments:

Post a Comment